10/28/10

Nuansa Baru

Sedikit-sedikit, kita tinggalkan jejak dan tanda. Kita simpan dahulu cerita-cerita lama sebelum tercemar lagi. Kita sama-sama sepakat tujuan yang kita faham dalam hati.

Sedikit-sedikit, kita buang rasa yang kita dukung bagai minyak setelapak. Yang sekian lama kita pendam dan suka-sukakan. Demi kebaikan semua orang.

Sedikit-sedikit, kita lupakan janji-janji. Kerana janji itu sudah membusuk. Kalau disimpan, boleh jatuh sakit tidak berpenyembuh. Baunya semerbak melingkari pangsa kemaksiatan ini.

Sedikit-sedikit, kita tinggalkan diri dan sejarah lama. Sebab masa tak menunggu. Dan kau pun tak lagi di situ. Mengapa terus bertepuk, sayang? Tak keluar bunyilah. Sebab hanya sebelah tangan.

Nuansa baru yang ku cipta. Kau hargailah. Jangan dirosak. Sebab aku yang merana nanti. Ini sajalah pinta aku. Jangan dirosak, kawan. Jangan.

10/22/10

Aku tidak cuba merebut cinta. Aku sedar hak dan keinginanmu. Cuma aku tagih rasa hormat untuk kasih yang pernah hinggap untukmu dariku. Dan sesungguhnya, demi Tuhan, mengakulah, kau sedar akan perasaan ku terhadapmu.

Cinta itu suci. Aku faham itu. Dan aku hormati cinta penuh suci dan keberkatan yang kau punyai. Kau beruntung kawan. Sangat beruntung untuk kau memiliki rasa dan nafsu seperti itu. Aku hormat. Tabik hormat.

Namun seperti kau, aku juga tidak punya pilihan. Tahukah kau betapa aku sanggup memperdagang segalanya, demi untuk aku menjadi seperti kamu? Untuk aku mampu menyemarak kasih sayang pada jalan keberkatan? Tahukah kau?

Selama ini, kawan, kau berjaya ciptakan sempadan abstrak yang aku faham-faham sendiri. Walau ada kala aku terlampau batas, kau tetap sabar. Dan aku pun suka. Dengan kayangan sementara. Yang kita berdua rasakan. Demi batas itulah, aku sentiasa menangis, dalam kesedaran, tentang fakta yang aku tahu sejak dulu lagi; yang kau tak mungkin aku miliki. Aku sedar.

Ada anasir luar masuk campur. Cerita terhambur menolak aku sebulat-bulat guli. Siapa kau? Sekali lagi, siapa kau? Cerita dari belah dunia mana kau anuti? Sebab kita lain-lain. Kau merentet cerita mudah antara kami, yang tujuan diledak bukan untuk kau cemari. Tolong. Aku tidak mahu bergaduh.

10/15/10

Balada Seorang Teman

Aku tak tahu bersalam cara jantan. Berbual soal permainan. Berborak cinta si gadis manis.
Aku tak tahu juga cara baik merakam foto-foto kenangan. Mendengar alunan lagu yang kau sama-sama puja.
Aku malah bodoh mencongak tingkah baik untuk berlari seiring di sisi mu. Walau itu janji mu, aku bertepuk sebelah tangan, wahai sahabat.

Aku gagal mengagak manusia apa kamu ini. Dan arus alir mana perlu ku turut untuk kau rasa selesa.

Yang aku tahu, kau sahabat terbaik yang aku serap segala baik dan burukmu, walau kau ketinggalan jauh satu waktu.
Yang aku tahu, aku ada untuk mu, waktu susah senang yang kita alami sejak azali pertemuan.
Yang aku tahu, setiap marah ku tak pernah tertempias hingga ke zahir batinmu.
Semua, demi kasihku padamu wahai sahabat. Aku ikhlas berkawan. Mencuba sehabis baik. Menserasi diri. Adaptasi, agar kau bahagia.

Walau tak semua mampu kau luah, adakala aku teringin merasa; kasih sayang jati seorang sahabat, yang bukan dipaksa, melantun suara dan mengamal, penghargaan sedetikmu untukku. Yang buat ku tercurah air mata. Dan sedar yang aku juga istimewa dalam dirimu. Sepertinya aku yang mengangkat kau jauh dari batasan. Mengatasi akal.

Aku lain, aku sedar itu. Dan mungkin tak lagi perlu kita genggam gelaran sahabat, andai masa dan keadaan enggan mengalah selamanya.

10/13/10

Buta

Kenapa perlu tercari-cari? Ada terdampar dinafi-nafi. Kalau benar hasrat hati, kenapa dulu lagi tak dilapah bahagi? Ada hati dan jiwa yang kau racun, tak kau sedari. Tapi dia diam sebab sedarkan hak dan intuisi yang kabur. Abstrak dan pedih. Halus.