Mata tutup. Ikutlah hati.
Nescaya binasa. Sebab fantasi yang tak ditegur realiti.
Adalah jalan-jalan yang menuju kehancuran.
Kau yang pernah ku gelar sahabat, adalah manusia yang baik. Menghormati. Dan faham situasi. Jadi maafkan aku untuk memesong langsung persepsi yang kau susah payah ciptakan depan mata katupku.
Kau bina dasar, melalui bohong. Kau kenakan aku secukup rasa. Ku guna akal, kau balas material, dalam keikhlasan olok-olok.
Rupanya, selama ini kita sedang bermain. Papan catur ku biar kau dominasi. Buah catur kau gerak-gerak, tanpa peduli atur dan undang. Ya, memang aku sengaja katup mata. Salah sendiri. Mengapa perlu ku tuding-tuding jari?
Kau tinggal aku demi kemaluan. Kau yang ku sangka berdiri di sisi, kerana janji yang kau sendiri taburkan. Aku tak pernah meminta kau berlari seiring di pinggir hari-hari. Demi rasa persahabatan, aku ganjilkan diri. Tapi kau pergi. Tak nampak cerita. Dan percaya lain sisi. Aku kecewa, sahabat. Aku kecewa.
Cuba kau imbau dan kenang, sejarah-sejarah lalu yang sama gembira kita teroka. Oh, mungkin semuanya pementasan juga. Siapa tahu. Dalam hati kecilmu, kau mahu mengindar. Seperti aku. Kini, yang ada hanya sisa. Dan darah kesakitan sendiri-sendiri. Itupun kalau kau cukup berhati. Semenjak dua ini, aku berharapan untuk kau berdiri demi aku. Aku tagih kepercayaan, seperti yang aku pernah beri kepadamu.
Hari ini, aku bakar semua tiket operamu, meninggalkan saki baki harapan yang pernah aku semai di tepi tingkap. Aku tinggalkan impian-impian dan ajakan janji yang kau atau aku pernah beri dulu. Aku sengaja mungkir, demi memberi lalu perikemanusiaanmu yang rendah teramat.
Andai satu hari kita berjumpa lagi, biar aku yang menyambung opera ini ya? Biar aku tulis skripnya. Kerana tulisan dan lakonan kau teruk, buruk, hancur! Tak menjadi. Kantoi. Biar anugerah itu aku yang genggam. Sebab aku suka cara ini macam. Senang. Kasi aku juga bermain sama, ok? Biar aku sarungkan beg plastik paling tebal; biar matahari sejengkal, takkan terurai. Kebencian yang menular ini, janganlah sampai terpancar. Aku tak mahu jadi pelakon teruk sepertimu.
Salam perpisahan, insan yang tidak ku punya gelaran. Semoga kau terus berjaya hingga akhir zaman.
No comments:
Post a Comment