6/28/11

Siantan

Dicarik daun-daun kecil, dan kuntum bungaan merah jambu, sarat madu di balik kelopak. Malu barangkali. Mahu selindung dari dunia luar yang kotor. Mahu simpan manisnya sendiri. Tak mahu kongsi-kongsi. Lokek, tapi pintar.

Dicarik lagi, sampai puas. Sampai rata. Sampai benar-benar membentuk pagar. Yang kukuh, yang bermaruah, yang mampu menebus malu, menyala impian, menghidup harapan, yang pernah mati ditiup angin hidup. Begitu jalang. Tapi adil.

Barangkali hambalah yang terpilih, ditakdir menjelajah diri. Tafakur mencari makna. Diam-diam membina jiwa, yang enteng iman memihak dilema, antara batil dan hakiki.

Hamba ini nadir. Bogel melawan hidup. Malu dan sendiri. Cuma mahu menghirup manisnya madu Siantan. Kerdil sifatnya, tapi penuh nilai juga airmata. Sekejap nikmatnya, tapi penuh kisah juga makna.

6/6/11

Tafsir Talkin

Gambar-gambar itu begitu ironik. Syairmu begitu puitis. Begitu arif tentang gegak gempita kegembiraan.

Apalah yang kau tahu tentang gembira, hai pembunuh rasa. Apalah yang kau tahu tentang harapan bersemi. Apalah yang kau tahu tentang mati hidupnya perasaan.

Akar-akar berselirat menjalar gigih. Terpasak dalam, susah dicabut lagi. Apalah yang kau tahu tentang ini semua? Tentang cara meracun jiwa, juga mengambus lubang jenazah, di perkuburan. Sepi, bahkan sayu walau dalamnya genting, dihuni kesal bahkan dendam.

Apalah yang kau tahu tentang melepas pergi?

Mengenang ayah, datuk, nenek. Al-Fatihah. Juga dia.