7/13/11

Angin Langkisau

Cantas-cantas seriau kemalasan. Sikit-sikit, menagih pengorbanan. Tenaganya apa, masanya bila, ongkosnya mana. Gerangan apa yang tangani kekalutan sebegitu dengan bijak sekali. Mahu ku tagih geliganya, sedikit pun jadilah.

Jiwa ini keedanan. Tapi disabar-sabarkan. Demi pengamatan juga pengalaman. Luaskan pandangan.

Menanggapi ketenangan baru, bukanlah mudah kawan.

7/1/11

Sekian Lama

Sepertinya saya tak boleh tidur ini malam. Pagi sudah pun menjelma. Matahari menjelang. Ada sayup-sayup bunyi camar di luar jendela. Ning pun bernyanyi sama (Kau & Aku).

Saya harap hari ini jadi langkahan itu, yang begitu lama saya nantikan. Demi dunia baru yang saya harap-harapkan. Sudah lama saya tidak rasa sebegini. Baru sebentar tadi saya rasa menyesal dengan 22 tahun hidup di belakang. Sia-sia yang terjadi. Bagaimana agaknya hidup saya kalau sejarah diolah semula.

Tapi malam tanpa tidur rasanya penuh hikmah dan rahmat. Syukur. Seperti ada restu.

Kurang lebih dendam dah bertukar diam. Kurang lebih sayang dah memudar. Cuma tinggal memori & kenangan. Kadang-kadang adalah juga teringat (Memberi peluang sebenarnya). Cuma dengan kemaafan saja boleh kita berlalu pergi. Mencari cerita lain.

Insya Allah. Dengan izin Yang Maha Esa, semoga ada cerita yang lebih baik untuk saya. Mencari jiwa insan yang bercinta, membawa bersama misteri seribunya cinta.

6/28/11

Siantan

Dicarik daun-daun kecil, dan kuntum bungaan merah jambu, sarat madu di balik kelopak. Malu barangkali. Mahu selindung dari dunia luar yang kotor. Mahu simpan manisnya sendiri. Tak mahu kongsi-kongsi. Lokek, tapi pintar.

Dicarik lagi, sampai puas. Sampai rata. Sampai benar-benar membentuk pagar. Yang kukuh, yang bermaruah, yang mampu menebus malu, menyala impian, menghidup harapan, yang pernah mati ditiup angin hidup. Begitu jalang. Tapi adil.

Barangkali hambalah yang terpilih, ditakdir menjelajah diri. Tafakur mencari makna. Diam-diam membina jiwa, yang enteng iman memihak dilema, antara batil dan hakiki.

Hamba ini nadir. Bogel melawan hidup. Malu dan sendiri. Cuma mahu menghirup manisnya madu Siantan. Kerdil sifatnya, tapi penuh nilai juga airmata. Sekejap nikmatnya, tapi penuh kisah juga makna.

6/6/11

Tafsir Talkin

Gambar-gambar itu begitu ironik. Syairmu begitu puitis. Begitu arif tentang gegak gempita kegembiraan.

Apalah yang kau tahu tentang gembira, hai pembunuh rasa. Apalah yang kau tahu tentang harapan bersemi. Apalah yang kau tahu tentang mati hidupnya perasaan.

Akar-akar berselirat menjalar gigih. Terpasak dalam, susah dicabut lagi. Apalah yang kau tahu tentang ini semua? Tentang cara meracun jiwa, juga mengambus lubang jenazah, di perkuburan. Sepi, bahkan sayu walau dalamnya genting, dihuni kesal bahkan dendam.

Apalah yang kau tahu tentang melepas pergi?

Mengenang ayah, datuk, nenek. Al-Fatihah. Juga dia.