7/31/09

Saya Terlalu Menjadi Manusia. Maafkan Saya.

Kawan kawan yang saya kasihi, saya tidak pernah rasa hilang fokus dan arah seperti ini. Saya tidak pernah rasa gentar, takut dan menggigil seperti ini. Saya juga tidak pernah menangis lebih lebat dari yang saya tangiskan kini.

Saya seorang yang realistik. Saya tidak akan sekali-kali mengiyakan perkara yang saya rasa tidak mungkin saya capai, begitulah sebaliknya. Tapi apakah hati dan perasaan merupakan perkara yang mampu disukat menurut ukuran realis? Walau sejuta umur kita, tak akan mungkin kita mampu menilai hal-hal hati dengan sebegitu tepat. Setiap manusia memiliki hati dan perasaan dan citarasa yang sangat subjektif dan kadang-kadang tidak relevan langsung untuk dipolemik menjadi tatapan umum. Sepertinya anda yang tidak mampu mentafsir apa sebenarnya di dalam fikiran saya ketika ini.

Saya sedang bersedih rakan-rakan. Saya sedang mengharungi satu peringkat hidup yang terlalu besar ujiannya.

Masalah saya ialah keinginan yang terlalu tinggi dan terlalu berimpian untuk menghadapi ujian ini dengan jayanya. Saya malah gopoh, terhegeh-hegeh dan tidak sabar untuk melaluinya satu persatu.

Salahkanlah saya untuk menjadi terlalu berharap. Mungkin, perkara ini tidak akan membawa saya ataupun rakan saya menjadi selangkah lebih dekat dengan kemurnian, tapi saya hanya ingin mencintai dan dicintai. Betapa saya tidak mampu menolak kesucian cinta.

Alangkah saya mahu mengajak anda untuk menghargai cinta. Cinta tidak akan datang dengan mudah. Dan cinta juga tidak datang kembali dengan mudah. Bukan senang untuk kita menerima kembali cinta yang pernah kita buang.

Saya tidak pernah menutup hati saya untuk cinta. Cinta datang dan pergi, dan singgah dan menyepi, dan bercambah dan beralih dalam diri saya selama ini. Cuma saya adalah manusia biasa, yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Saya cuma sukar untuk melupakan cinta-cinta tadi yang singgah sebentar ketika sedang sunyi. Tapi percayalah kawan-kawan, saya juga tidak pernah mempersoalkan kehadiran hati baru yang mahu berkongsi rasa kasih sayang.

Saya akan memberi masa. Tempoh tersebut akan menjadi saksi betapa saya sebenarnya adalah manusia biasa yang akan melakukan silap-silap bodoh yang akan menginggung. Walaupun pada akhirnya, saya akan bersedia, tidak semestinya orang akan tegar menunggu. Mungkin akan ada kisah cinta klasik lain yang masuk lalu menutup langsung pintu, dipateri, dikunci mangga dan dipaku-paku sehingga saya tak akan mampu lagi mengumpil walau sedikit. Mungkin cinta saya tadi adalah kesilapan, dan akan dibungkus elok-elok sebelum dibuang jauh, akibat tersedar dalam kelewatan, bahawasanya semua ini adalah kesilapan.

Kesilapan besar yang berlingkar melalui cambah-cambah perasaan manusia, yang rapuh, yang sensitif, yang bukan perkara main-main.

Saya tahu penantian adalah seksa. Saya tahu juga saya terlalu tidak mengendah. Saya tahu saya telah silap. Saya tahu juga saya telah bermain perasaan. Untuk itu, saya cuba meraih peluang, atau harapan, untuk membaiki segalanya. Namun, sejak bilakah, peluang menjadi hak eksklusif satu pihak dalam mana-mana nahu perhubungan di dunia ini?

Sejak bilakah saya ditegah dari kalimah 'peluang'?

Perasaan tak akan mungkin suka akan paksaan. Atau kritikan. Saya sendiri tidak mungkin suka dipaksa dan dikritik atas prinsip yang terlalu saya bangga dan percaya. Tapi, demi kasih sayang, saya rela melutut dan tunduk mengakui kesalahan saya; iaitu terlalu menjadi manusia.

Terlalu menjadi manusia yang berusaha untuk menerima kasih sayang manusia yang lain, ketika saya sedang berusaha melupakan cita cinta yang terlalu lama saya buru. Terlalu menjadi manusia yang cuba mengalirkan rasa sayang dalam cara paling terhormat dalam keadaan saya yang tersakit. Terlalu menjadi manusia yang teruja melupakan cinta lama untuk menyambut dan meraikan cinta baru kita dengan besar-besaran. Terlalu menjadi manusia yang terlupa, bahawa semua tadi telah mengambil masa yang teramatlah lama, hingga sayang tadi telah mengalir pergi. Terlalu menjadi manusia yang tersilap mengeja kesetiaan.

Pada akhirnya, saya akan tetap memohon maaf dan maaf lagi. Air mata telah saya cucurkan. Janji telah saya taburkan. Harapan akan tetap saya manfaatkan. Tapi hati tetap hati.

Saya akan tetap mengejar cinta yang satu ini. Tapi, beringatlah, saya juga tidak akan sesekali menutup pintu hati saya untuk sesiapa sahaja. Saya mungkin obses. Tapi saya juga realistik.

Sehingga waktu ini kawanku, saya tidak akan berhenti melamar dan menyeru untuk "marilah kita bersama mengejar kembali cinta abadi yang pernah kita cita-citakan dulu."

7/26/09

Mengenang Yasmin Ahmad



Saya menangis mengetahui bahawa tiada orang yang sempurna. Kalau kita menjangkakan kita disayangi kerana kekurangan kita, kenapa kita menolak untuk menerima dan mencintai kekurangan orang lain.

-Yasmin Ahmad



Al-Fatihah untuk pengarah tersohor yang menginspirasikan Malaysia. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

7/23/09

Klasik



















Jalan-jalan
yang terlalu lama kita tinggalkan
bila disusur kembali
pasti terbongkang kenangan
yang menagih untuk dikutip
dan untuk kita terkutip.

7/22/09

Di Pasar Malam.


















Sesungguhnya, orang berniaga adalah orang yang untung.
Mari berniaga sayur-sayuran lagi di masa depan.