5/20/11

Suatu Masa di Hujung Kerohanian.

Melihat ranapnya gelanggang memori kita dulu, tempat berlari-lari berpeluh-peluh. Pepohon rapuh, kayu mereput, lalang meninggi, dan daunan rimbun itu. Jalan-jalan pasir dengan matahari besar menerik panas.

Tidakkah kau merinduiku wahai sahabat?
Seperti hati melarut pergi, dihanyut arus ke hujung rohani.

5/15/11

Kepercayaan Kita

(Sila baca posting ini dengan lagu Sungai Lui - Aizat Amdan berdentum sayup di earplug anda)

Pagi-pagi ini macam, saya tergerak meraikan kehadiran cuti semester yang baru.

Saya kira saya semakin berusia kini. Nahu fikir saya semakin dewasa, begitu juga rupa dan suara. Saling melengkapi. Mungkin sekali sekala adalah juga. Tapi tak selalu. Kadang-kadang.

Saya belajar banyak perkara dalam tempoh setahun lalu. Saya belajar hidup. Saya kira inilah pelajaran paling sadis, namun begitu mengagumkan pernah diajarkan hidup pada saya.

Tukang guru paling jujur ini mengajar saya untuk masih percaya, dan terus percaya. Untuk jangan sekali-sekali putus asa. Mesti ada jalan. Walau dikhianat. Walau hilang kawan. Walau terkontang kanting. Walau tiada wang untuk makan. Walau sakit tak kebah. Walau berkorban sia-sia. Walau menyorok-nyorok. Walau dimalukan. Walau dibodoh-bodohkan. Walau perlu berjalan. Langkah-langkah ikhlas itu, begitu syahdu. Bila pasir kotor bersatu dengan kaki, selipar pun naik haus. Tapi berjalanlah. Selagi boleh. Dunia besar, tapi boleh. Percaya. Teruskan percaya.

Bukan ini yang saya inginkan, tapi hati saya rela. Menjadi kuat dan tegar. Menjadi kukuh. Tidak lagi takutkan segala mungkin. Sebab segala mungkin telah dihadap depan muka. Kecuali kematian. Belum sedia, itu saya pasti. Banyak yang perlu dibuat. Membalas budi, membalas dendam, membalas hina, membalas dosa. Bertaubat. Sepentingnya air, begitulah taubat.

Jalan luhur yang saya pernah sayang-sayangkan dulu, punah hancur. Berhala. Saya tersedu mencari nafas. Sadis yang amat. Sadis sangat-sangat. Saya pejam mata, mencari sinar di balik kelopak mata, sebelum saya buka mata, menyedari ada manusia-manusia membuka tangan selapangnya bersedia memeluk saya. Selama ini, saya tidak mengendah. Saya ego, dan terus melupai, demi kononnya saya sudah cukup bersedia. Tapi kan Tuhan maha adil. Dia ketuk saya sedikit, sakit, memang, tapi syukur dan terima kasih.

Demi cinta, janganlah saya pergi dulu. Saya mahu membalas. Sebaiknya. Ini semua yang saya inginkan.

Siapa kata hidup ini mudah? Yang penting kita belajar. Dan semestinya, hidup takkan jadi mudah juga selepas itu. Kita masih muda. Mentah.

5/1/11

Assalamualaikum.

Harap aku agar kau ketemu jalan pulang.
Aku kepingin kau selamat sampai.
Tidak sesat tidak alpa,
perjalanan mu penuh keriangan
penuh ketawa dan hilai mesra.

Aku mahu kau suka dengan arah yang kau pilih di setiap simpang.
Aku mahu kau senyum penuh bangga, tiada sesal.

Hari ini, kekasih. Kau menjadi sang mantan. Kerana aku sudah rela. Kerana aku sudah redha.

Waktu kau susah dan pasrah, janganlah khuatir. Aku ada di sini. Memerhati dengan penuh iltizam. Memberi kata dan nasihat dari sisi ganjil. Persetankan, asal kau sedar maksudku.

Nanti bila masanya kita tak mungkin berjumpa lagi, aku ingin kau tahu, yang aku berbahagia di sini. Aku sudah habis mengaji. Aku sudah tahu hukum. Janganlah kau risau lagi.

Nanti bila tiba masa kita terpisah sampai mati, aku mahu kau yakin dengan dunia. Jangan takut-takut mencari. Jangan malu-malu menggali.

Sesungguhnya, kaulah kekasih terbaik pernah ku miliki, walau kasih ini tak bersimpul tak bertali. Aku sanjung jasa baik dan budi luhurmu jauh ke akhirat.

Hari ini, kekasih. Aku sudah ikhlas. Seikhlasnya hati ini mampu memberi.