10/29/11

Logamaya

Kadang-kadang aku biarkan diri tergantung. Sebab aku belum puas berkhayal. Tentang idaman.
Kemanisan, manja dan pujuk tawa. Bagaikan ada jiwa satu lagi yang erat mengikat kasih pada hati. Memang ada. Jangan berbohong menyiksa nurani.

Bila bertemu realiti, aku sudah tak boleh memisah. Sedang banyak lagi yang perlukan pengamatan. Arah hidup samar-samar. Hilang sedikit demi sedikit.

"Apa lagi yang kau mahukan?" Orang bertanya. Tak terjawab. Jujur buntu. Diam seribu kata. Sebab aku sendiri sudah hilang arah hidup, hai kalian. Hilang. Aku cuma berpura-pura. Aku masih berjalan-jalan di logamaya. Menafsir mimpi ikut falsafah sendiri. 

Tolong aku melupa masa dan mengendah metamorf yang berjalan mengikut hari. Izinkan aku sangapkan realiti dan menoleh pada impian lebih besar. "Apakah begini kau mahu hidup sampai ke akhir?" Maut tanya hinggap seketika.

Berfikir. Mendongak langit. Menyalah takdir dan saing, sebelum akhirnya aku terperosok ke dalam diri, duduk terbiar di sisi tabir. Salam kedelapan, lagi-lagi untuk kebodohan diri.

Cukup-cukuplah. 

Rumah Tua (Tribut Untuk Kenangan)



Waktu ini, saya berada di rumah tua. Ya, biar begitu gelarannya. Untuk sejarah dan kenangan yang telah dihadapnya. Saya kira mahu berpuluh tahun sejak hari pertama ia berdiri.

Di tanah lot sekangkang kera ini, telah banyak kali waris kami berbudi pada tanah, & tanah berbudi kembali. Sejak rumah tua ini memahat tiang seri ke pasak bumi, pahit manis bersilih ganti; jodohnya dengan masa. 

Waktu datuk nenek masih ada dulu pun, sama juga cabarannya. Tapi kerana adanya orang tua, air tangan mereka yang mulia telah menyuburkan tanah ini dengan megahnya. 

Pagi-pagi, awal jam 6, sudah ada rendisi ayat-ayat suci menyambut fajar. Waktu dulu Wak Ah ada di dapur menyedia makanan, sebelum saya diajak menjenguk hidangan bawah tudung saji, dengan selang seli telingkah manja datuk dan nenek yang saya sayang-sayangkan kini.

Ah, memori memang kejam. Bila dipanggil-panggil, degil tak mahu kembali. Kuat prinsipnya yang 'masa tidak boleh berulang'. Saat ayah bertarung nyawa juga kini sepertinya diulang tayang banyak-banyak kali, seperti Astro main wayang (ironinya kami tidak punya piring atas atap, menyekat inflasi kata mak). Siapa sangka saya ini anak yang sadis & jahil?

Bukan persoalan umur. Bukan. Cuma waktu itu saya berharapan. Mungkin silap orang tua saya yang diam-diam merahsia betapa mustahaknya kegeringan ayah waktu itu. Tapi, ya, sedang saya begitu kecil untuk memahami kanser. 

Roh-roh cerita ini kini berlegar. Sambil mereput kayu dan retak lantai. Sambil bocor bumbung dan kami tak pandai. 

Adalah tidak bijak untuk menuding jari. Bahkan berusahalah untuk membina hidup dulu-dulu. Kalau impian adalah masa depan untuk kebanyakan manusia, untuk saya dan keluarga pula, impian adalah masa silam. Kami sudah mengecap kekayaan itu dulu. Dan kami mahu membangkit kembali. Begitu payah. Begitu seksa dan susah. 

Saya tak dapat lari dari menyalahkan diri. Untuk 10 tahun yang lalu, saya telah mengisytiharkan diri sebagai tetamu singgah di rumah tua ini. Bagaimana saya lari dari kecamuk gelora membangkitkan impian. Mak cik pak cik telah berusaha. Saya nampak itu. Mak lagilah berusaha. Adik dan abang berada di sini mencari balik benih. Mengorek tanah bakti dan cari saki baki akar untuk disemai. Mereka tak pernah kecundang.

Jadi saya tabik segala usaha tadi.Rumah tua ini berdiri kukuh sebab kamu-kamu. Saya tidak.

Biarlah kini, tulang si empat kerat ini membanting kuasa yang secebis ada. Wujudkan segala impian. Biar dikit tapi bangkit. Membukit. Termampunya saya mendukung. 

Rumah tua, oh rumah tua. Jangan risau si rumah tua. Kami ada di sini menjadi peneman. Kami ada di sisi jadi penawar. Segala sakit, kami ubatkan. Segala buruk, kami cantikkan. Sedaya kami. Dengan izin Allah, dengan izin Allah. 

Biarlah satu hari ada semula alunan tasbih dan ayat suci di pagi hari. Biar ada bau jemput bawang mewangi. Biar sejuk embun dan kabus pagi sampai ke sum-sum. Biar semua usaha ini berbaloi.

10/25/11

Lagi Mudah

Maaf. Cakap banyak-banyak kali pun tak mengapa.

Aku tak mampu pandang tepat ke mata mu, dan menzahir kata. Takut ada yang geli gelaman.Tapi aku pohon kemaafan. Sebab aku tak boleh. Cukuplah sampai di sini kita bersahabat.Aku ucapkan selamat berjaya, dunia & akhirat. Ini kali, seikhlasnya hati mampu ku memberi.

Terima kasih. Juta kali penghargaan.

Nanti-nanti di masa depan, aku mahu kau jangan kesal. Walau sedikit, janganlah kau kesalkan. Sebab jika aku yang menangis, sekurangnya-kurangnya aku tahu yang kau tidak. Dan itu bakal jadi kekuatanku.

Begini lagi mudah bukan? :)