12/21/09

Membaca Laporanmu Ahmadun



membaca warkahmu, ahmadun
dan puji-pujian yang dihamburkan
betapa terharu dan hampir menitis air mata
tahukah, betapa yang tidak terungkap
dan terdiam,
betapa yang membisu dan dibisukan;

ketika syahnagra dan kawan-kawan menceritakan,
dengan ghairah
dan emosi, peristiwa-peristiwa itu...
tahukah kau sejarah temanmu
betapa ia telah melalui bahkan lebih daripada itu
(sekurang-kurang pada perasaannya)

kalaulah kau tahu
-Raja Ahmad Aminullah
KL 18 Mei '99

saya mahu tukar ahmadun itu pada nama lain. tapi ini hak cipta sang penyair. cukuplah begitu. mungkin cili cukup pedas untuk membakar lidah si pemakannya. mungkin.


12/20/09

Saya Belum Cukup Bagus. Saya Tahu Itu.



Oh, jadi saya ini belum cukup bagus? Begitu? Baik, saya tahu itu.

Jangan ditunjuk-tunjuk apa-apa tanda pun. Memang dah cukup jelas. Ok? Bila ditunjuk-tunjuk begitu, lagi terasa hati kecil saya ini. Kalau memang niat anda begitu, ye, anda berjaya dengan cemerlang. Saya memang sakit hati.

Tapi tak mengapa. Ada cara mudah, anda pilih cara belakang pula, bukan? Saya juga punya cara saya. Maaf kalau cara saya kasar natijahnya. Tapi saya tidak kisah. Tak mengapa. Hari masih ada untuk baiki semula keadaan.

Sakit hati saya bila ditipu. Sakit sangat. Tapi kita memilih menjadi professional, berbanding menjadi rakan sejati bukan? Jadi, mari kita jadi professional sebetul-betulnya. Anda diberi peluang pilihan, begitu juga dengan saya. Saya juga bebas memilih. Mari, kita bersaing sehabis mungkin. Kita ukur kesaktian kita! Mari.

12/15/09

Surat Untuk Diri.

apalah hak bila berbual soal pilihan
titik bertindih bersilang seli

kita gaduhkan nikmat dan peluang lepas
semata-mata demi kita
diri nadir kita

walaupun hujan cerminkan jiwa
jangan lupa titisnya untuk kita imbaukan
silam diri dan pilihan yang dikhianati

kalau kau mahu 'kita' ini menjadi
kau buta sebelah mata
layanan ini cuma hasil akrabnya kita
bukan benda-benda bodoh yang kau sengaja tempelkan di dahi berjerawatmu

khilafnya akal
bila kita matikan suis-suis waras
demi nafsu

cemburu bertenggek, itu tanda kasih

kata kau; jangan risau
sebab dunia ini berkisar di sebalik zahir dirimu
kata kau lagi; agung dirimu wajar kusanjung
sebab kau terlalu hebat untuk dibuang

hak kau dan kita-kita adalah menjadi saksi
sementara yang menulis adalah ilmu yang terlintas hati di saban hari-hari
ya. kebenaran yang pahit adalah takal keupayaan masa depan
dan untuk kali ini, kebenaran adalah kelemahan. kurang hebat barangkali

kata-kata awal tadi adalah bohong.

jadi apalah pilihan bila berbual soal hak, kawan?

sebab kau tiada pilihan. selain pasrah. dan berhenti bersudah-sudah.

12/3/09

Selamat Malam, Hari Untuk Kawan. Saya Sudah Mahu Tidur.

'Mana hilangnya kawan-kawan saya? Saya seorang tersekat di tengah cuti tiba-tiba.'

Baru saya sedar, saya sedang membiarkan masa lapang membunuh saya. Saya sedang membiarkan perasan bodoh ini menyelinap masuk dalam diri saya ketika jiwa saya kosong lantaran cuti yang teramat membosankan.

Tak tahulah apa sebenarnya saya rasakan sekarang. Orang kata saya ini sedang menyentap tak tentu fasal. Orang kata juga saya sedang gila meroyan.

Mungkin. Ya, mungkin juga.

Ada orang kata jangan ukur setiakawan melalui kata-kata. Rujuk kepada setiap tingkah lakunya. Reaksinya terhadap kita. Keterbukaan mindanya menerima diri kita sebenarnya. Untuk mereka duduk dan ajar setiap salah laku yang mungkin jelek di matanya. Dan untuk kita menerima hamburan kata-kata nasihatnya tanpa prejudis. Hal setiakawan ini, melibatkan kawan dengan kawan seorang lagi.

Kita semua memiliki hakikat. Hakikat zahir batin yang tidak mungkin kita dapat ubah. Hakikat adalah fakta diri yang dikepilkan pada kita dengan gam paling bermutu di dunia. Sesuatu yang kita panggil takdir. Hakikat batin saya ialah saya tetap seorang budak kampung yang terhegeh-hegeh mencari kawan dan perasan bahawa saya boleh masuk dengan otak sesiapa sahaja; menyangkakan bahawa buah fikir saya akan dapat diterima rakan-rakan baik lalu mencipta keserasian dan untuk mereka hadamkan dengan 'lazat' dan 'asyik'. Hakikat zahirnya; adalah lain.

Manusia, tidak mungkin sempurna. Sementelah saya yang mengharapkan kehadiran saya ini terus dianggap, manusia keliling saya mungkin tidak mahu kehadiran saya dalam segelintir hal. Jadi mereka berjaya mencipta ruang peribadi agar kesesakan buah fikir saya di hari lain tidak mengganggu.

Walaupun kita mampu mengubah takdir, kadang-kadang, kita mahu setiap perkara berlalu mengikut apa yang telah disuratkan. Mungkin ada baiknya segelintir hal dibiarkan begitu sahaja. Berlaku mengikut apa adanya.

Ya. Inilah hakikat. Saya sengaja mengangkat diri sendiri menjadi subjek. Tidak kira siapa-siapa pun, semua kita sesuai menjadi subjek cerita ini. Manusia adalah maksud sebenar ketidaksempurnaan. Dan kita tidak boleh salahkan sesiapa pun untuk tidak menerima kita yang kurang sempurna, satu nafas yang signifikan untuk dunia warna warni ini. Mungkin kita bakal membeban mereka lagi. Siapa tahu kan?

Saya tidak pernah kisah ditinggalkan atau tertinggal. Saya percaya saya mampu mengejar balik. Walau bukan dalam waktu terdekat, mungkin satu ketika dalam segenap umur kitaran usia. Konsep karma terlalu menakjubkan.

Kita sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk diri kita. Tapi, kadang-kadang kita perlu bertolak ansur dan bertoleransi; harapan kita mungkin bukan sesuatu yang baik untuk orang lain. Kita mungkin tidak kisah kalau orang-orang lain tadi tiada maknanya dalam hidup. Tapi bagaimana kalau orang itu adalah mereka yang kita anggap terlalu istimewa?

Marilah kita muhasabah diri. Kita pasrahkan hati demi menerima hakikat. Sudah-sudah menyentap. Saya percaya, jika saya relakan hati, segala-galanya kan berlalu dengan mudah dan gembira.

Tulisan ini adalah luahan hati manusia yang tidur selama 16 jam tanpa henti, yang bangun dan menyedari dia ditinggalkan keluarganya yang ke pasar malam, lalu bersendirian di rumah, dan perlu menutup tingkap yang banyak seluruh rumah dengan longlai dan mamai serta penuh ketidakpuasan hati. Jadi, kawan-kawan, jangan endahkan tulisan ini. Saya cuma rasa sunyi tiba-tiba. Itu sahaja.