11/30/10

Lewat Jelingan Atas Jejantas (Untuk Diri Sendiri)

Ingatlah diri. Tolong ingat, yang semua ini untuk kau juga.

Bencilah, makilah, carutlah.

Untuk kau juga. Semuanya.

Semoga zahir batin meresap hinaan, menjadi benci.

Cairan sayang perlu dilupus habis. Demi keinsafan dan masa depan.

Berhenti pedulikan perasaan orang. Kerana kau perlu lakukan ini.

Jangan keliru, jangan pandang jalan belakang.

Lewat pertuturan ini, adalah hati dan diri yang yang kedap jelingan babi. Yang kalis kata-kata sinis. Yang tak hadap gambar-gambar nostalgis.

Sebab diri ini akan jadi lebih kuat dari sebelumnya. Sangat kuat, sampai tak terkenang langsung angan-angan, dan fantasi dulu kala.


Ini, demi mencari hikmah. Bertegaslah. Dan kau pasti berjaya.

11/10/10

Semester yang bererti berakhirlah sudah, tiba masanya kita beristighfar dan memanjatkan kesyukuran untuk jalan yang dipermudahkan oleh-Nya.

Sesungguhnya, walau apapun yang terjadi di masa depan, kita perlu tabah dan sentiasa bersyukur. Cari titik kegembiraan sebab setiap yang terjadi ada hikmahnya. Kalau benar kita ini berharga, kita sendiri akan tahu caranya, kan?

Kita rehatkan minda dan hati dari perasaan bodoh dan bercelaru, demi satu diri yang baru semester depannya. Dengan semangat baru. Dan hati yang baru.

Cakap banyak-banyak pun tak guna.
Selamat bercuti kawan-kawan!

11/7/10

Pengakhiran

Mata tutup. Ikutlah hati.
Nescaya binasa. Sebab fantasi yang tak ditegur realiti.
Adalah jalan-jalan yang menuju kehancuran.

Kau yang pernah ku gelar sahabat, adalah manusia yang baik. Menghormati. Dan faham situasi. Jadi maafkan aku untuk memesong langsung persepsi yang kau susah payah ciptakan depan mata katupku.

Kau bina dasar, melalui bohong. Kau kenakan aku secukup rasa. Ku guna akal, kau balas material, dalam keikhlasan olok-olok.
Rupanya, selama ini kita sedang bermain. Papan catur ku biar kau dominasi. Buah catur kau gerak-gerak, tanpa peduli atur dan undang. Ya, memang aku sengaja katup mata. Salah sendiri. Mengapa perlu ku tuding-tuding jari?

Kau tinggal aku demi kemaluan. Kau yang ku sangka berdiri di sisi, kerana janji yang kau sendiri taburkan. Aku tak pernah meminta kau berlari seiring di pinggir hari-hari. Demi rasa persahabatan, aku ganjilkan diri. Tapi kau pergi. Tak nampak cerita. Dan percaya lain sisi. Aku kecewa, sahabat. Aku kecewa.

Cuba kau imbau dan kenang, sejarah-sejarah lalu yang sama gembira kita teroka. Oh, mungkin semuanya pementasan juga. Siapa tahu. Dalam hati kecilmu, kau mahu mengindar. Seperti aku. Kini, yang ada hanya sisa. Dan darah kesakitan sendiri-sendiri. Itupun kalau kau cukup berhati. Semenjak dua ini, aku berharapan untuk kau berdiri demi aku. Aku tagih kepercayaan, seperti yang aku pernah beri kepadamu.

Hari ini, aku bakar semua tiket operamu, meninggalkan saki baki harapan yang pernah aku semai di tepi tingkap. Aku tinggalkan impian-impian dan ajakan janji yang kau atau aku pernah beri dulu. Aku sengaja mungkir, demi memberi lalu perikemanusiaanmu yang rendah teramat.

Andai satu hari kita berjumpa lagi, biar aku yang menyambung opera ini ya? Biar aku tulis skripnya. Kerana tulisan dan lakonan kau teruk, buruk, hancur! Tak menjadi. Kantoi. Biar anugerah itu aku yang genggam. Sebab aku suka cara ini macam. Senang. Kasi aku juga bermain sama, ok? Biar aku sarungkan beg plastik paling tebal; biar matahari sejengkal, takkan terurai. Kebencian yang menular ini, janganlah sampai terpancar. Aku tak mahu jadi pelakon teruk sepertimu.

Salam perpisahan, insan yang tidak ku punya gelaran. Semoga kau terus berjaya hingga akhir zaman.

11/5/10

Maaflah.

Betapa kuatnya rindu.

Kalau bukan sebab tekad.
Sudah ku cincang badan dan fikiran sendiri.

Dan tak ketertanggungan yang mencucuk-cucuk jiwa raga ini, akan telah aku siapkan jerangkap ciptaan sendiri.
Biar ku jadikan alasan.
Untuk aku menghubungimu.
Berborak santai dan bertanya khabar keluargamu.
Bertanya masalah dan meluah rasa hati.
Tentang segalanya.
Seperti biasa.

Tapi bukan hari ini kawan.

Demi tekad yang telah ku janjikan dalam hati.

Kita tak boleh jadi macam dulu lagi.
Demi menghormati ketetapan.
Demi meraih maruah dan kepercayaan.
Demi kau dan impian khayalan.
Demi ilmu dan kerjasama.
Demi kita. Kita keduanya.

Demi aku. Juga.

Ya. Akulah si bodoh yang memilih jalan janggal ini. Jatuhkan hukuman dan penghakiman kamu.
Aku yang lama menyeksa diri dalam jalan laknat yang hina, kotor, jijik, berdosa besar, dipandang keji.

Jadi, demi rasa hormat dan patuh pada suruhan, aku larikan hati.
Menjunjung kembali akal. Dan berlalu pergi.


Kita jadikan tauladan peristiwa ini. Untuk ketahuan bahawasanya setiap kejadian memiliki hikmat. Baik buruk, ku atur sepuluh jari berkematu, dari jiwa kehinaan ini, untuk semua nyawa yang terasa. Maaf ku pohon kau terima.