2/10/11

Oh Tahi! (Tentang Menterjemah)

Aku ni kawan, bukanlah cakap aku betul sangat. Bak kata kaulah, si empunya pena tidaklah sempurna mana. Hanya untuk ingatan. Macam nilah. Aku cadangkan kau ambil masa, tarik nafas dalam-dalam. Dan berfikirlah. Tuhan bagi kita masa untuk fikir.

Baik, sebelum kau masukkan aku dalam senarai ahli neraka kekal yang kau nukilkan, aku nak kau cerap diri. Apa langkauan fikir kau itu dapat buat imbang tara dosa yang pernah aku lakukan? Apa betul aku ini sudah berlaku mungkar? Ingat kawan, walau macam mana sekali pun aku labelkan diri aku, selagi belum aku 'membuka langkah' maka tidak jatuh segala hukum yang kau laung-laungkan. Sebelum kau cakap aku ini makhluk penuh hina, bergelumang dosa, aku ingatkan kau juga, yang rambut wanita itu dosa ditatap. Suara wanita bernyanyi dosa didengar. Mencarut sana-sini dosa dilafaz. Ya, perkara-perkara kecil yang kau agak mungkin tak penting hukumnya, & balasannya di hari kemudian mampu kau tahan. Apa yang kau lakukan untuk menghalang kedosaan ini? Apa yang kau buat untuk membaiki dosa-dosa yang jadi sebahagian tanda kecil ini? Oh tak seserius kau meleteri aku mungkin. Sebab tak nampak hadis atau firman agaknya. Atau memang tak mahu nampak? Ha, itu kita tak tahu.

Aku kenal kau lama sudah. Aku nampak kau atas bawah. Betul. Memang kau tak sempurna. Syukur kau sedari. Jadi, sambil aku lewati baris-baris ayat yang kau tutur saban hari di celahan alam maya, aku rasa geli hati, kawan. Geli gelaman. Mahu termuntah. Maaflah. Tapi, bila kau memilih dosa untuk didakwah, agaknya jenis pendakwah mana pula kau boleh dikelaskan? Dosa aku bukan main kau besarkan, walau tak ada bukti. Walau tak aku buat sebarang langkahan lagi.

Mari aku ajarkan dikit-dikit petua yang terlintas. Satu, kalau benarlah ikhlas niat hati suci mu mahu meluruskan aku yang patah menanti belah ini, apa rasional kau menjauh diri? Bukan kau perlu dekatkan diri? Membimbing dari mula sampai ke akhirnya? Dua, andai kata pun kau berjaya membuang ego kemafhuman mu untuk si hina ahli neraka ini, apa kau tahu cara atau langkah untuk membimbing aku ke jalan lurus? Sekadar berbekal firman & hadis? Apa itu secukupnya sudah? Tiga, apakah keadaan hari ini jadi lebih baik? Apakah aku jadi semakin baik? Apa kau rasa hati aku kini tak membara & terkesan kebencian setiap kali aku hadir ke majlis-majlis agama, tentang betapa orang macam aku sudah tak ada harapan dan dibuang jauh dari jalan keredhaan? Apa kau tahu perit getir yang perlu aku tempuh sepanjang masa dengan dendam kesumat dan jaga-jaga?

Kau boleh kata aku jahil agama. Katakanlah apa sahaja. Mungkin benar, kau adalah manusia yang lebih baik, lebih suci, lebih berpahala dari aku. Siapa tahu bukan? Aku tak tahu sebelum ini. Cuma lepas semua kejadian ini, kau meyakinkan aku yang kau memanglah manusia yang lebih baik dari aku.

Kau mau bergaduh? Aku mampu bagi setepek tepat di muka kau. Bagilah segala hujah. Mari aku patahkan. Aku tak gentar. Kau mahu bergaduh depan muka? Mari. Kau jantan sejati bukan? Mari kita ukur kesaktian kita. Aku tak takut.

Walau apa pun yang jadi, aku ada satu nasihat; aku bukan tuhan, aku bukan nabi, aku bukan alim ulama, aku bukan kawan yang baik, tapi ini nasihat aku dari seorang manusia pada manusia yang lain, yang sama taraf di mataNya; hidup ini macam roda, hari ini kau hina aku untuk sesuatu yang aku tak pernah mahu, dan sentiasa cuba untuk lenyapkan, dengan segala usaha & keupayaan. Sedikit-sedikit. Tapi kau tak tahu, yang waktu dulu sebelum aku terlahir, tak ada siapa pun yang fikir aku akan jadi seperti ni. Seperti kau yang yakin yang kau juga tak akan terjebak ke lembah yang kau tajukkan 'hina' tadi. Jadi berhati-hati. Jangan takbur & angkuh. Kau bersyukurlah kerna ada orang seperti aku, buat kau teringat untuk beringat-ingat. Tapi Tuhan maha kaya. Yang pasti waktu ini aku terluka, untuk sesuatu yang tak pernah aku buat. Mungkin kau lupa, aku juga punya hati. Juga perasaan. Aku juga ada akal. Aku juga ada alasan. Salah tetap salah. Namun akhirnya Dia yang menilai buruk baik aku di dunia.

Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka dia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut. (Riwayat Tirmidzi)


Semua ini untuk aku sendiri.

1 comment:

  1. aku reda andai kata tempat aku di Neraka kelak, sebab aku dinilai oleh Allah swt Yang Maha Agung.

    tapi sekiranya aku dinilai oleh manusia yang belum tentu Syurga atau Neraka tempatnya, aku hanya mampu tersenyum sinis.

    ReplyDelete