10/15/10

Balada Seorang Teman

Aku tak tahu bersalam cara jantan. Berbual soal permainan. Berborak cinta si gadis manis.
Aku tak tahu juga cara baik merakam foto-foto kenangan. Mendengar alunan lagu yang kau sama-sama puja.
Aku malah bodoh mencongak tingkah baik untuk berlari seiring di sisi mu. Walau itu janji mu, aku bertepuk sebelah tangan, wahai sahabat.

Aku gagal mengagak manusia apa kamu ini. Dan arus alir mana perlu ku turut untuk kau rasa selesa.

Yang aku tahu, kau sahabat terbaik yang aku serap segala baik dan burukmu, walau kau ketinggalan jauh satu waktu.
Yang aku tahu, aku ada untuk mu, waktu susah senang yang kita alami sejak azali pertemuan.
Yang aku tahu, setiap marah ku tak pernah tertempias hingga ke zahir batinmu.
Semua, demi kasihku padamu wahai sahabat. Aku ikhlas berkawan. Mencuba sehabis baik. Menserasi diri. Adaptasi, agar kau bahagia.

Walau tak semua mampu kau luah, adakala aku teringin merasa; kasih sayang jati seorang sahabat, yang bukan dipaksa, melantun suara dan mengamal, penghargaan sedetikmu untukku. Yang buat ku tercurah air mata. Dan sedar yang aku juga istimewa dalam dirimu. Sepertinya aku yang mengangkat kau jauh dari batasan. Mengatasi akal.

Aku lain, aku sedar itu. Dan mungkin tak lagi perlu kita genggam gelaran sahabat, andai masa dan keadaan enggan mengalah selamanya.

No comments: