5/1/11

Assalamualaikum.

Harap aku agar kau ketemu jalan pulang.
Aku kepingin kau selamat sampai.
Tidak sesat tidak alpa,
perjalanan mu penuh keriangan
penuh ketawa dan hilai mesra.

Aku mahu kau suka dengan arah yang kau pilih di setiap simpang.
Aku mahu kau senyum penuh bangga, tiada sesal.

Hari ini, kekasih. Kau menjadi sang mantan. Kerana aku sudah rela. Kerana aku sudah redha.

Waktu kau susah dan pasrah, janganlah khuatir. Aku ada di sini. Memerhati dengan penuh iltizam. Memberi kata dan nasihat dari sisi ganjil. Persetankan, asal kau sedar maksudku.

Nanti bila masanya kita tak mungkin berjumpa lagi, aku ingin kau tahu, yang aku berbahagia di sini. Aku sudah habis mengaji. Aku sudah tahu hukum. Janganlah kau risau lagi.

Nanti bila tiba masa kita terpisah sampai mati, aku mahu kau yakin dengan dunia. Jangan takut-takut mencari. Jangan malu-malu menggali.

Sesungguhnya, kaulah kekasih terbaik pernah ku miliki, walau kasih ini tak bersimpul tak bertali. Aku sanjung jasa baik dan budi luhurmu jauh ke akhirat.

Hari ini, kekasih. Aku sudah ikhlas. Seikhlasnya hati ini mampu memberi.

No comments:

Post a Comment