12/8/12

Harga Dewasa

Kurang lebih, seminggu dah berlalu sejak saya diraikan dalam majlis graduasi di Kota Anggerik. Graduasi, seperti biasa. Panas, sesak & penuh cinta, tawa & air mata mungkin, meski yang zahir atau batin.

Jadi apa lagi selepas ini? Ramai yang mencatit cita-cita di buku biodata warna warni yang berpusing seisi darjah, dengan kata 'belajar hingga ke menara gading'. Itu lewat zaman kanak-kanak. Saya, jujur kata, salah seorang dari mereka.

Okaylah, bohong. As time flies, bertukar jugalah cita-cita & impian saya. Cuma memang ada sekali, saya catit that exact same words, just for the sake of using that 'menara gading' idiom. Nampak cukup hebat untuk digunakan oleh seorang murid darjah 2 di sebuah sekolah kampung yang daif.

Kini, saya seorang remaja tua, yang terkandas di Kuala Lumpur, melakukan sesuatu yang saya tidak pernah saya fikir akan saya lakukan sebagai kerjaya sepanjang saya belajar untuk 17 tahun.

Kata orang, peringkat hidup yang saya sedang jengah kini, adalah peringkat awal dewasa. Peringkat di mana wang, jalinan sosial, ghairah batin, batu asas kerjaya & tanggungjawab semesta raga berkecamuk.

Jadi mungkin apa yang saya rasakan kini adalah normal. Diri sedang mengadaptasi.

Waktu ini juga, adalah waktu untuk kita selak kembali kamus hidup, dan lakukan reality check. Kembali mengikat diri pada keadaan dan peraturan bermain di dunia sebenar. Mana kawan kawan yang perlu kita lepas pergi, mana kebiasaan lewat malam yang perlu diketepi, juga stail hidup yang menjahil dan memudarat diri, demi ikatan kerja dan masa.

Resmi hidup sedang bertransisi dengan pantas, dan saya nampak betapa pentingnya untuk saya berada sama pantas dengannya. Walau, adakala, saya persoal kembali keupayaan diri.

Bermotivasi dan berkeyakinan adalah satu hal, tapi untuk kekal realistik adalah satu hal berlainan sama sekali. Lewat saing lain yang mula bergembira menyemai dan membiak hasil pilihan hidup yang begitu indah digambarkan di laman maya, saya sedang terperosok di celah-celah dilema antara keinginan, keperluan, kemampuan dan mungkin juga suratan takdir.

Bukankah Tuhan itu maha bijak yang tahu akan segala-gala? Mungkin ini adalah laluan yang hanya perlu saya turuti, tanpa perlu banyak cakap. Sejarah membuktikan, kerap saja pilihan saya salah. Natijahnya, saya kekal terperangkap.

Mungkin ini adalah waktu untuk kembali, melalui pilihan nyata yang diberi-Nya. Siapa tahu? Me, of all people, is the least to know. Banyak nasihat & kata-kata dari rakan yang cukup saya sanjung dan telaah sedalam dalam pemikiran. Tapi, yalah, sedang nama pun dalam dilema.

Akhirnya, saya gagal menyimpul fikiran, dan terus berharap, selagi boleh, semoga ini betul dan sahih hendak-Nya.

Begitu kompleks kan? Sekurang-kurangnya, kompleks untuk sayalah. Haha. Kalau ini semualah yang merangkumkan kedewasaan, mungkin juga saya belum mahu digelar seorang lelaki dewasa.

Mungkin salah masa yang terlalu cemburukan saya menikmati keindahan matahari senja dari bilik N2210 di Lendu. Atau mungkin juga salah saya sendiri yang tidak pernah benar-benar menghargai masa gemilang tersebut.

Mungkin juga saya masih mahu berbaring tenang di rumah lama, membantu abang dan ibu menongkat kehidupan.

Entahlah. Harga dewasa tidak dipapar di tanda harga saat kita membeli dengan paksa rela.


No comments:

Post a Comment